Apa itu Endometriosis?
Endometriosis adalah keadaan kronik di mana tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim. Pertumbuhan ini boleh berlaku di ovari, tiub fallopio, pundi kencing, usus, dan organ pelvis lain, menyebabkan keradangan, parut, sakit, dan ketidaksuburan.
Keadaan ini lebih biasa daripada yang disangka, menjejaskan kira-kira 1 dalam 10 wanita usia reproduktif. Malangnya, ia sering tidak dapat dikenali atau di beri diagnosis tepat kerana gejalanya menyerupai keadaan lain, dan ada kalanya simptom wanita tidak diambil serius.


Gejala Endometriosis
Gejala endometriosis berbeza bagi setiap individu. Ada yang mengalami sakit yang teruk, manakala ada yang tiada simptom langsung. Antara gejala biasa termasuk:
Senggugut Teruk (Dismenorea): Kekejangan dan sakit semasa haid yang tidak lega dengan ubat tahan sakit biasa.
Sakit Pelvis Kronik: Sakit berterusan di bahagian pelvis di luar kitaran haid.
Sakit Semasa Hubungan Seks: Rasa tidak selesa atau sakit ketika atau selepas hubungan seksual.
Haid Berat atau Tidak Teratur: Pendarahan berlebihan atau tompokan darah antara kitaran haid.
Infertility: Kesukaran untuk hamil akibat keradangan dan pembentukan tisu parut.
Tiub Fallopio Tersumbat: Tisu parut menghalang telur daripada sampai ke rahim.
Kerosakan Ovari: Sista endometriosis boleh menjejaskan kualiti telur.
Keradangan Kronik: Persekitaran rahim tidak sesuai untuk persenyawaan.
Gejala Lain: Keletihan, kembung, sembelit, atau cirit-birit, terutamanya sekitar waktu haid.


Tahukah Anda?
Ada individu dengan endometriosis yang tidak mengalami sebarang gejala.
Sakit belakang bawah kronik atau sakit saraf sciatic kadangkala disangka masalah ortopedik, tetapi sebenarnya boleh menjadi tanda endometriosis.
Tidak semua wanita dengan endometriosis mengalami kemandulan. Ramai yang boleh hamil secara semula jadi, dan rawatan seperti pembedahan laparoskopik, rangsangan ovulasi, atau IVF boleh meningkatkan peluang kehamilan.


Pilihan Rawatan untuk Endometriosis
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh membantu menguruskan simptom, meningkatkan kualiti hidup, dan menyokong kesuburan:
Ubat-ubatan:
Terapi hormon untuk mengawal endometriosis dan mengatur kitaran haid
Ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketidakselesaan
Rawatan Pembedahan:
Pembedahan Laparoskopi: Mengeluarkan tisu endometriotik melalui teknik invasif minimum, berkesan dalam melegakan simptom dan meningkatkan kesuburan
Pembedahan Robotik: Pilihan pembedahan lanjutan untuk membuang tisu endometriotik dengan lebih tepat, terutama bagi kes yang kompleks
Perubahan Gaya Hidup:
Mengamalkan pemakanan seimbang, senaman berkala, dan teknik pengurusan tekanan hidup untuk membantu mengurangkan simptom



